“Jgn sesekali guna kereta jam 2pg ke 6pg”. Syarat miliki kereta tp aku langgar. Tiba2 tunang aku hilg.

Gambar sekadar hiasan. Sila baca dibawah ini untuk maklumat penuh dan lengkap bagi artikel ini. Terima kasih kerana membaca artikel ini. Mohon kongsi jika bermanafaat dan mohon maaf jika ada tersilap dan salah. Assalamualaikum, Aku mendoakan sesiapa yang membaca surat aku ini sihat dan diberkati Tuhan. Nama aku Johari bin Jamil.

Aku berasal dari Bukit Baru Melaka,dan dah menetap di sana lebih kurang 6 tahun. Sebelum itu aku lahir dan membesar di Ulu Kinta,Perak. Tapi yang itu,tak perlulah aku ceritakan. Sebab aku bukan tulis surat ni untuk berkenalan. Tujuan aku menulis surat ini adalah untuk meminta bantuan. Sebab ramai kawan,sedara,malah tok imam masjid aku sendiri suruh aku hubungi Darul.

Kata mereka Darul yang pandai benda-benda macam ni. Aku berterus terang jelah. Tunang aku hilang. Sekurang-kurangnya itulah yang dilaporkan oleh pihak p0lis. Dan kalau sesiapa yang membaca surat ini Google nama tunang aku ( saya kepilkan sekali nama dan salinan IC nya bersama surat ini), pastinya akan jumpa keratan berita dan juga “missing” poster bertarikh 3/2/2020.

Tapi pada aku dia tidak hilang. Sebab aku tahu tunang aku kat mana. Aku boleh ‘nampak’ dia. Cuma aku tak boleh sentuh dia. Aku tak boleh pegang dia. Aku tak boleh lansung berbual dengannya. Dan dah tentulah aku tak boleh bawak dia balik. Keliru? Aku lagi keliru. Lagi kusut. Tapi itulah yang berlaku. Dan dah lebih 6 bulan macam tu.

Benda ni bermula tahun lepas sebenarnya. Masa tu kami sepatutnya bersanding pada 10/3,masa hari jadi dia. Jadi kami keluar ke bandar,ke Kota Melaka untuk beli persiapan. Pagi lagi kami dah keluar,makan sarapan di Kampung Hulu. Kemudian bila dah pukul 10 kami ke JJ baru. Naik motor je,sebab itu je yang mampu.

Lepas itu,kami shopping. Dia beli barang dia,aku beli barang aku. Untuk hantaran. Dah habis beli belah,kami makan di tingkat bawah. Senang kata, semuanya seperti biasa. Ceria,bahagia.Yelah,orang dah nak kahwin. Borak pun pasal sayang, pasal cinta,pasal bahagia mendirikan masjid. Tapi lepas habis makan,sesuatu yang tak seronok berlaku.

Belum sempat nak balik,tunang aku dah tarik ke tengah mall. Katanya ada pameran. Pameran kenderaan beroda empat. Hati aku dah mula tak senang masa tu. Aku dah masak dengan rungutan tunang. Dia kata dah muak naik motor. Dia nak naik kenderaan berbumbung. Katanya tak nak lagi berpanas,berhujan di tengah jalan.

Aku kata dengan dia aku tak mampu. Aku kerja Grab Rider je,hantar makanan. Bank manalah yang bodoh nak bagi loan kat aku. Tapi orang perempuan kan. Mana dia faham kesusahan kita. Yang dia tahu kehendak hati dia. Dia nak jugak bakal suami berkereta. Jadi,sejak dari haritu,tunang aku akan cari peluang. Mana nampak ada pameram kereta dia akan tarik aku ke situ.

Dia akan panggil ejen,promoter untuk membasuh aku. Seperti mana yang berlaku haritu. Kami menghampiri ruang pameran yang terbuka. Kelihatan beberapa buah kereta tersergam indah,dikerumuni orang ramai yang melihat. Ada sedan,ada etchback,ada SUV,ada MPV. Bermacam-macam jenis,bermacam-macam warna. Semuanya berkilat-kilat menjemput ramai orang untuk melihatnya.

Aku seorang je yang rasa seperti tak dijemput. “Yang, jom baliklah. Dah masuk asar dah ni.” “Kejaplah bang,kita tengok dulu kereta ni. Kereta baru ni.” “Yep, X30. Baru keluar bulan ni,” tutur seorang promoter yang menghampiri kami berdua. Aku lepas tu terus angkat tangan. Ingat nak bagi isyarat yang aku tak berminat.

Tapi promoter tu tak ambik hint. Dia lagi bersemangat jadinya. “Puan minat ke dengan x30 ni?”. “Eh,jangan panggil puan. Panggil saya cik.Ini tunang saya. Kami nak kahwin tahun depan.” balas tunangku. “Ooowh.” Pendek sahaja jawapan promoter tu. Memerhatikan kami berdua dengan penuh minat. “Jadi saya cakaplah dengan bakal suami saya ni. Nak berkeluarga kenalah ada kereta,barulah senang nak ke mana-mana,” sambung tunangku lagi.

Merah padam mukaku masa tu. Malunya Tuhan sahaja yang tahu. “Saya setuju. Ni encik nak beli kereta pertama ya?” soal promoter itu. Aku tidak menjawab. Hanya memalingkan muka. “Ya,betul. Ni kereta pertama dia,” jawab tunangku tanpa persetujuanku. “Jadi x30 ni memang sesuailah. Besar,luas,harga pun murah.” balas promoter lagi.

” Murah? Berapa? ” soalku,mula menunjukkan minat. “43,000 ringgit. On the road.” “Kalau 40 ringgit tu bolehlah panggil murah.” Terlepas kata-kata itu dari mulutku. Tunangku mula menarik lenganku. Barangkali kurang senang dengan apa yang aku tuturkan. “Eh bang, mana nak dapat SUV empat puluh ribu bang? Biasa ni harga-harga hatchback je,” balas promoter itu kembali.

Aku mendengus. Berubah masam wajahku.
“Dahlah,kau nak tengok kereta ni,kau tengok. Abang nak tunggu kat mamak kat depan tu,” balasku lalu terus melangkah pergi. Aku berjalan sepantas mungkin, cuba untuk meninggalkan tunangku sejauh yang boleh. Ada masanya kita orang lelaki kena tunjukkan yang kita pun ada perasaan. Ada hati yang perlu dijaga.

Mungkin kerana langkahku yang tiba-tiba pantas itu akhirnya membuatkan tunangku bergerak. Meninggalkan ruang pameran dan mengejarku dari belakang. Melihat tunang ku menghampiri membuatkan hatiku gembira. Lebar senyuman di wajahku. Akhirnya hati dan perasaan tidak lagi dihinjak dan dipandang enteng oleh seorang insan bernama wanita.

Akhirnya apa yang aku rasa. Kesusahan ku,perasaan ku difahami juga. Dan yang paling penting,aku sebagai lelaki menang juga ke atas wanita. Tapi rasa menang tu tak lama. Sebaik sahaja aku tiba di pintu depan,senyuman di wajahku hilang. “Hujan. Macam mana saya nak balik sekarang?” jerkah tunangku dari belakang.

Aku tergamam. Tak mampu menjawab. Bibirku tandus kata-kata yang boleh diungkapkan. Aku tahu jawapanku nanti hanya akan menambahkan pedih yang sudahpun terasa di hati. Tunangku hanya menggelengkan kepala,sambil mengeluarkan telefonnya. “Ha,dik. Ambik akak dik kat pintu depan JJ. Hujanlah. Ha,10 minit lagi eh? Ok,bye.”

“Awak tak payahlah panggil adik awak ambik. Saya boleh hantar awak balik. Kita tunggu hujan redalah sekejap kat mamak ni,” tuturku. “Saya tak ada masa nak tunggu awak. Bapak saya bising nanti kalau saya balik lambat,” tutur tunangku lalu terus berlalu pergi.

Aku hanya mampu menerhatikan sahaja. Aku tak mampu mengejar mahupun memujuk. Sebab aku tahu salahku. Aku tahu batas kemampuanku. Jadi aku berpaling dan melangkah longlai menuju ke kedai mamak di belakangku. Aku mengambil tempat duduk yang kosong. Aku lansung tidak menyedari kehadiran seorang lelaki di hadapanku.

Malah bila ada pelayan datang pun aku lansung tak mempedulikan soalannya. Angkat muka pun tak. Sehinggalah dia berlalu pergi. Masa tu aku benar-benar rasa kecundang. “Encik,encik ni ok ke?” Suara yang lembut itu membuatkan aku mengangkat wajah,melihat seorang lelaki sedang duduk di hadapanku. Di depannya terletak air teh o panas yang sudah separuh diminam.

Wajahnya putih. Tak ada misai,tak ada janggut. Dahinya lebar,rambut pulak tersisir rapi. Tak ada yang pelik pada muka lelaki itu. Mukanya biasa sangat. Seperti macam kau pernah nampak sebelum ini. Tapi tak mungkin. Sebab ini kali pertama aku berjumpa dengan lelaki ini. Dan dialah yang menjualkan padaku kereta itu.

” Saya dengar encik nak beli kereta, betul ke?” soal lelaki itu. Aku menggeleng. “Tapi tadi kan tunang cik tak dapat nak balik bersama. Sebab encik tak ada kereta. Dia tak sanggup nak naik motor dengan encik,meredah hujan,” balas lelaki itu. Masa tu aku pelik,macam mana mamat ni boleh tahu. Tapi aku tak tanya pulak pasal tu. Aku cuma membalas, memberi alasan.

” Saya tak…tak cukup duit nak beli kereta,” balasku. “Kalau macam tu encik nak beli kereta x30 ni dari saya tak? Saya bagi diskaun 80 peratus,” balas lelaki itu. “Kenapa murah sangat? Kereta second ke?” soalku lagi. “Tak adalah, kereta baru. Cuma kereta ni kereta istimewa.” “Istimewa? Istimewa macam mana?” soalku kembali.

” Awak tak boleh guna kereta ni dari pukul 2 sampai pukul 6 pagi,” “Huh?” Walaupun ragu-ragu pada mulanya,aku beli jugaklah kereta tu. Yelah,bila mengenangkan perangai tunang aku dan kehendak dia,aku turutkanlah jugak. Lagipun betul jugak cakap dia,aku kena tunjukkan komitmen dan kemampuan aku untuk mendirikan rumah tangga.

Jadi kalau dia mintak kereta,keretalah yang aku kena sediakan. Maka aku keluarkan hampir semua duit simpanan yang aku ada. Aku bayarkan pada lelaki itu. Tak sampai sehari dia datang dengan kereta,dan hulurkan kunci serta semua dokumen,termasuklah insurans. “Ingat eh encik. Jangan sesekali gunakan kereta ni dari pukul 2 sampai pukul 6 pagi,” pesan lelaki itu lagi.

Aku sekadar mengangguk. Masa tu aku fikir,walaupun syaratnya pelik tak adalah susah sangat nak ikut. Yang penting sekarang aku dah ada kereta. Dah tentulah orang pertama yang aku tunjuk adalah tunang aku. Bukan main teruja lagi dia. Dia berswafoto sakan depan kereta aku. Dia ambik gambar kereta aku. Dia ambik gambar aku bersama dengan kereta.

Dan dia hantar gambar tu ke segala macam media sosial yang dia ada. Dari Facebook ke Tik-tok. Dia siap buat bebenang lagi, tentang betapa baiknya tunang dia, memenuhi impiannya untuk menaiki kereta. Kemudian aku balik ke Perak. Tunjukkan kereta baru aku kat mak. Mak aku macam biasalah,dia mandikan kereta aku dengan air yasin.

Kemudian baru aku tunjuk kat kawan-kawan. Yang masing-masing semua macam dah tak sabar nak naik kereta baru. Dan itulah yang berlaku dalam minggu-minggu pertama aku memiliki kereta. Selepas itu rasa teruja tu hilanglah. Aku pun pergi kerja naik motor je. Kereta aku simpan kat rumah,siap aku lindung dengan kain lagi, tak nak bagi dia kena hujan.

Tak ada apa yang pelik pun berlaku dalam minggu-minggu pertama tu. Semuanya normal. Sampai pesanan lelaki tu pun aku hampir lupakan. Sebab aku bukannya jenis lelaki yang keluar malam. Yang balik pukul 2,3 pagi. Tengok bola pun lebih baik tengok kat HP. Kat mamak bukan boleh merokok pun.

Tapi lepas sebulan,baru aku perasan apa yang pelik pada kereta baru aku. Itupun lepas tunang aku tegur. “Eh,abang bawak kereta ni ronda satu Malaysia ke? Kejap je dah 10,000 km,” tutur tunangku. Aku terkejut. Cepat-cepat melihat pada odometer keretaku. Betul seperti yang dikatakan tunangku. Odometer kereta menunjukkan bacaan 10,065 km.

“Eh rosak ni. Mana mungkin kejap je dah sepuluh ribu. Saya bukan bawak gi mana pun kereta ni. Pergi kerja pun saya naik motor,” balasku mempertahankan diri. “Abang jangan eh,sayang dah letak kasut sayang dalam ni. Kalau abang bawak naik orang bukan-bukan. Saya boleh tahu,” balas tunangku.

“Betul,sumpah! Abang tak ada bawak kereta ni pergi mana-mana. Paling jauh hari tu pun pergi Taiping je,tunjuk kat mak,” tuturku lagi,cuba untuk menamatkan bicara. Masa tu aku fikir tak boleh jadi semua ni. Aku kena bawak pergi kedai, suruh orang tengokkan odometer aku. Jadi esoknya,aku bawak kereta aku pergi pusat servis.

Selain dari servis kereta,aku suruh mekanik tu tengokkan sekali odometer aku. “Bang,elok je saya tengok odometer abang ni. Tak ada rosak pun,” balas mekanik tu. “Eh,habis tu kenapa kejap je dah 10,000? Pakai pun jarang-jarang,” balasku. “Abang ada pergi Siam tak?” “Mana ada,paling jauh pun Taiping.”

” Entahlah bang. Mungkin rosak. Barang elektronik kan.”. “Bukan odometer ni mekanikal ke?” soalku kembali. “Yang moden semua pakai elektronik bang. Dia ada magnet kat abang punya gearbox,” balas mekanik tu. “Hmm,kalau macam tu,tukar baru jelah. Tapi berapa ya?”

” Tak sampai seratus pun. First servis banyak diskaun,” balas mekanik itu lalu terus menyambung kerja. Aku pula menarik nafas yang panjang. Lega. Sambil memanjatkan syukur pada yang esa. Harapnya bila dah tukar yang baru ni tak adalah dia berkelakuan pelik lagi. Tapi jangkaanku silap. Esoknya terus odometer aku mencecah 500 km. Pelik aku. Dah tukar baru pun masih lagi begitu.

” Ingat eh encik. Jangan sesekali gunakan kereta ni dari pukul 2 sampai pukul 6 pagi,”. Kata-kata lelaki itu terngiang-ngiang di kepala aku. Ada kaitan ke?. Kerana curiga,malam tu aku berjaga. Apabila jam berdetik pukul 2 pagi,aku memerhatikan kereta aku dari dalam rumah. Dari pukul 2 sampai pukul 6,tiada apa-apa yang berlaku.

Tapi bila aku bukak sahaja kereta pagi tu, odometer menunjukkan bacaan lebih 1000 km. Aku jadi bingung. Macam mana boleh jadi begini?. Jadi malam itu lagi sekali aku berjaga. Aku perhatikan kereta dari dalam bilik. Dengan rokok di tangan dan cawan kopi di depanku,aku memerhatikan kereta aku dengan penuh teliti.

Pukul 2,pukul 3 menjangkau ke pukul empat. Masih lagi tiada apa-apa yang pelik berlaku. Kereta aku masih lagi begitu. Tersergam tak bergerak,tak diganggu. Warna merahnya berkilauan dalam malam yang gelap. Terlalu merah warnanya. Melihat merah yang terlalu menyala itu membuatkan aku risau. Aku cepat-cepat keluar dari rumahku, berlari-lari anak menuju ke arah kereta.

Tanpa membuka pintu aku melekapkan mukaku,ke tingkap kereta, memerhatikan odometer dari luar. Mulut aku ternganga. Berdegup kencang jantungku bila melihat odometer itu bergerak laju. Sangat laju. Dalam masa beberapa saat saja ia sudah bertambah beberapa kilometer. Aku cuba untuk melihat lebih dekat, mencari sebab kenapa odometerku berkelakuan sebegitu.

Kilauan putih yang tiba-tiba datang itu membuatkan aku berundur serta merta. Walaupun sekejap,imej itu bagai terakam dalam kepala otakku. Senyuman yang menyeringai. Kulit yang bergerutu. Muka yang berlubang di sana sini. Dan mata, mata yang berwarna merah keseluruhannya. Imej yang terbayang-bayang dalam kepalaku itu membuatkan aku berlari lintang pukang masuk ke dalam rumah.

Malam itu,aku lansung tak dapat tidur. Selepas peristiwa itu kereta itu terus menjadi tempat larangan. Aku lansung tak mahu naik,mahupun sentuh kereta aku. Malah aku tutup lagi kereta aku
dengan kain kanvas. Dan walaupun aku cuba sebaik mungkin,aku masih tak boleh melupakan mata merah yang mengintaiku dari dalam kereta. Mata itu membuatkan aku ingin mencari ustaz,tapi kerana kesibukan mengumpul duit, hasratku selalu tertangguh.

Sehinggalah suatu malam bila tunangku menelefon. Jam menunjukkan pukul 10 malam. “Abang,boleh tolong sayang tak?” “Tolong apa?”. “Tolong ambik sayang malam ni. Kat rumah Ida.” “Rumah Ida kat KL tu?” “Ha yelah. Kat mana lagi.” Aku gementar. Dadaku mula turun naik. Apa yang diminta tunangku itu benar-benar sukar untuk ditunaikan.

” Abang dengar tak?” soal tunangku bila aku senyap di balik ganggang. “Boleh abang tahu kenapa?” soalku,cuba untuk mencari jalan keluar. “Ida kena balik kampung malam ni. Pak Cik dia meninggal. Orang tak nak tidur seorang. Jadi abang kena ambik orang malam ni jugak.” “Abah dengan adik awak tak boleh ambik?”

” Abah? Bising dia nanti. Tolonglah abang. Please. Abang sayang sayang kan?” Pujuk rayu tunangku itu membuatkan aku lemah. Jantungku bagai terhenti seketika. Suruh sudah rasa takut yang tadi terbit. Aku memerhatikan jam kembali. Pukul 10.05. Kalau aku bergerak sekarang mungkin aku sempat sampai rumah sebelum pukul 2 pagi. Perjalanan ke KL dari Melaka taklah jauh mana.

” Baiklah. Sayang tunggu eh,abang gerak sekarang.” Selepas menamatkan panggilan aku terus mengambil kunci kereta dan mengunci pintu rumah. Aku menghampiri keretaku dengan penuh berhati-hati. Bagai menghampiri busut tebuan lagakku. Dengan lafaz Allahuakbar aku menarik kanvas,sambil menutup mata. Aku terus masuk ke kereta,tidak menoleh ke kiri dan kanan.

Aku lansung tidak membetulkan cermin pandang belakang,mahupun cermin sisi. Aku terus menghidupkan enjin kereta, membuka radio sekuat mungkin,dan memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur. Masa nak pergi aku tak bertembung dengan sebarang masalah. Pukul 11.20 aku dah sampai di rumah tunang aku,yang sudahpun menunggu dengan beg disandang di belakangnya

Bila nak balik je bermacam-macam hal jadi. “Abang tak nak singgah makan dulu?” tegur tunangku sebaik sahaja aku melepasi R&R Dengkil. Aku menggeleng. ” Tak nak. Abang kena sampai Melaka cepat,sebelum pukul 2. Esok ada urusan awal pagi.” “Sayang laparlah bang,belum makan lagi. Jomlah kita makan kejap kat Seremban,” rayu tunangku lagi.

Aku hanya menggelengkan kepala. Jam sudahpun menghampiri pukul 12,dan aku tak rasa aku ada masa yang cukup untuk berhenti. “Tak boleh yang. Abang memang nak cepat ni. Ada urusan esok pagi. Sayang makan kat rumah jelah eh.” “Makan kat rumah? Makan maggi jelah jawabnya.”

Aku diam,tidak menjawab. Aku tahu sebarang jawapanku nanti hanya akan memangjangkan cerita. Aku hanya menumpukan pada jalan di depan. Jam baru menunjukkan pukul 12. Kalau aku teruskan pada kelajuan ni,pukul 1 aku akan sampai di Melaka dan sebelum pukul 2 aku akan sampai di rumah. Tapi malang tidak berbau. Sebaik sahaja melepasi R&R Seremban,kereta berhenti sepenuhnya. Sesak.Tidak bergerak.

” Kenapa jam pulak ni?” tuturku. Tunangku lansung tidak menjawab. Hanya memberi fokus pada telefon di tangannya. Aku mengambil telefonku dari papan pemuka,membuka aplikasi Waze. Rupanya ada kemlangan di depan. Baru sahaja berlaku. Jam menunjukkan pukul 12.45. Aku cuba untuk mencari jalan. Ingatkan nak gunakan jalan kec3masan. Tapi malangnya kereta lansung tak bergerak. Aku hanya mampu menunggu.

Setengah jam berlalu. Jam menunjukkan pukul 1.15 pagi. Kereta mula bergerak perlahan-lahan. Bila ada peluang,aku mula mencilok kiri dan kanan,mencari laluan yang paling pantas untuk keluar dari kesesakan. Aku perhatikan tunangku sudahpun tidur dengan kepalanya menghadap ke arah tingkap. Barangkali dia merajuk,atau malas nak melayanku.

Ataupun barangkali dia lapar kerana aku tak berhenti makan. Apa-apapun aku buat semua ni bersebab. Aku tak tahu apa yang akan jadi bila jam berdetik pukul 2 pagi. Yang aku tahu,aku tak nak dia berada dalam kereta, menanggung risiko bahaya,bila ianya berlaku. Disebabkan itulah aku melajukan kenderaan. Mencuba sebaik mungkin untuk tiba di rumah sebelum pukul 2.

Walaupun dengan kenderaan yang bersesak di atas lebuhraya. Tapi aku hanyalah manusia. Yang ada batas kemampuan. Dan kerana itulah aku tiba di Tol Simpang Empat 5 minit sebelum pukul 2 pagi. Dadaku kembali berombak. Jantungku kembali berdegup kencang. Aku menanti penuh debar apa yang akan berlaku bila jam tepat pukul 2 nanti.

Selepas membayar tol aku membawa kereta dengan perlahan. Aku nekad jikanada masalah aku akan berhentikan kereta di tepi jalam dan meminta bantuan kereta lain. Kejap-kejap aku memerhatikan cermin belakang. Memastikan memang aku dengan tunangku sahaja yang ada di dalam kereta ketika ini. Lebih-lebih lagi bila jam sudahpun pukul dua pagi.

Aku membawa kereta dengan penuh debar. Segala bunyi, kilauan cahaya,malah kereta yang memotongku membuatkan jantungku hampir sahaja terhenti. Tapi aku kentalkan juga hati. Aku terus memandu dengan penuh berhati-hati, sehinggalah aku tiba di sebuah stesyen minyak. Bagus,aku pun dah lama tahan kencing.

Aku memberhentikan kenderaan di ruang parkir. Jam sudahpun menunjukkan pukul 2.10 minit pagi. Alhamdulillah,tak ada apa-apa yang berlaku. Aku melepaskan nafas yang panjang. Terasa ringan terus dadaku. Hilang terus rasa takut dan gementar yang tadi bagaikan hendak bersarang dalam jiwa. Sebaik sahaja meletakkan kereta,aku terus mengejutkan tunangku.

“Yang,yang bangun. Abang nak pergi buang air kejap,awak toling tengokkan kereta eh,”. Tak berjawab. Aku mencuba sekali lagi,tapi masih lagi tidak berjaya. Aku mula menggerak-gerakkan badan tunangku. Cuba menarik tangannya untuk menyedarkannya daripada tidur. Tapi dia masih lagi begitu. Bagai terlekat badannya dengan kerusi kereta.

Aku mengambil langkah terakhir dengan menarik kepalanya. Sebaik sahaja aku melihat wajah tunangku,aku menjerit sekuat hati. Kulitnya kini bergerutu. Mukanya berlubang di sana sini. Dan giginya putih,sambil menampakkan taring. Aku berpaling dari memandang tunangku. Tunangku yang sudahpun berubah sifat. Bukan lagi berupa seperti manusia. Tapi berupa makhluk yang entah datang dari mana.

Aku berpaling menghadap tingkapku. Tapi apa yang aku nampak,menambahkan lagi jeritan yang keluar dari tekakku. Berpuluh-puluh mata,yang nerwarna merah kesemuanya, memerhatikan aku dari luar kereta. Aku kaku. Kaget. Bulu roma di badanku tegak berdiri. Aku terasa selurlarku tiba-tiba. Barangkali dari air kencing yang keluar kerana aku terlalu terkejut.

“Encik. Kan saya dah kata jangan guna kereta ni dari pukul 2 sampai pukul 6 pagi,’ tutur satu suara dari belakangku. Aku menoleh memandang ke belakang. Walaupun dengan muka yang berlubang dan mata yang merah,aku kenal pemilik wajah itu. Lelaki inilah yang menjual kereta ini padaku. ” Tunang…tunang aku,” balasku tergagap-gagap.

” Tunang encik dah tak boleh nak diselamatkan lagi dah. Dia dah masuk ke alam saya. Tapi encik,encik masih boleh selamatkan diri. Sebab ini sebahagiannya kereta encik jugak kan?” balasnya sambil tersenyum. Tersenyum menampakkan giginya yang putih itu,yang menambahkan rasa seriau di seluruh badanku.

Cepat-cepat aku membuka pintu kereta, sampai tersungkur aku,muka tersembam ke atas tar jalan. Tapi aku tak pedulikan semua itu. Aku tak pedulikan kesakitan yang mencengkam rahang dan wajahku. Kerana aku tahu di belakangku adalah alam lain yang bila-bila masa sahaja boleh menelanku. Kerana di belakangku kedengaran bunyi hilai tawa yang makin lama makin kuat. Seperti ia sedang mengejarku dari belakang.

Aku berlari sekuat mungkin,meninggalkan stesyen minyak jauh di belakang. Keesokan harinya ada orang menjumpai aku di perhentian bas. Aku pun tak ingat macam mana aku boleh sampai situ. Kata mereka aku meracau macam orang tak betul sambil berbaring di atas kerusi perhentian. Selepas itu aku pulang ke rumah. Polis ada datang berjumpa dengan aku. Mencari tunangku.

Mulanya mereka syak aku ada berlaku jahat ke atas tunangku. Tapi disebabkan tak ada bukti,aku dilepaskan begitu sahaja. Dan selepas beberapa minggu, keretaku kembali ke rumahku. Diletakkan kembali di depan rumah. Mungkin sesiapa yang membaca surat ini akan berasa pelik,kenapa aku masih lagi menyimpan kereta itu. Tapi aku lakukannya kerana aku masih berharap.

Dan kerana apa yang berlaku padaku setiap malam. Ya,setiap malam bila jam tepat pukul 2 pagi,aku boleh mendengar dengan jelas bunyi ketukan dari dalam keretaku. Aku boleh dengar dengan jelas bunyi jeritan tunangku. Jeritan meminta aku menyelamatkannya… Tamat

Terima kasih membaca fiksyen ini, untuk mendapatkan cerita2 menarik boleh sama2 layari page mahakarya. terima kasih kerana menyokong.

Sumber Abu huzaifah bidin via mahakarya